Pekerjaan adalah satu keperluan yang teramat penting kepada manusia.
Kehidupan kita bergantung kepada kerja. Ini kerana ia merupakan sumber
ekonomi untuk keperluan. Pekerjaan juga boleh mengangkat status dan
pengiktirafan seseorang individu dalam masyarakatnya. Selain itu,
pekerjaan juga meletakkan nilai dan harga diri seseorang.
Agama amat menggalakkan setiap penganutnya bekerja dan tidak
meminta-minta. Ia merupakan tuntutan yang perlu dilaksanakan dengan
jujur dan amanah. Dengan pekerjaan inilah kita dapat memberi nafkah
untuk diri dan keluarga di samping membangun ekonomi bangsa serta
negara.
Lazimnya, kebanyakan mereka yang berjaya adalah orang yang berdisiplin dalam kerja. Dengan memiliki disiplin
membolehkan seseorang itu menjadi pekerja yang berkreativiti dan
berkualiti. Untuk menjadi pekerja yang berkreativiti dan berkualiti ini
memerlukan banyak kemahiran dan pengalaman. Ia hanya diperoleh dengan
adanya DISIPLIN.
Saya ingin kongsikan 5 tip secara ringkas untuk menjadi pekerja yang disiplin. Saya menggunakan perkataan KERJA tersebut sebagai pecahan kepada 5 tip untuk disiplin dalam kerja:-
K – Kerjaya
Mengapa kita memilih perkerjaan tersebut?… Jawapan ada dalam diri
kita masing-masing. Jawapan itulah yang akan menentukan hala tuju kita
dalam kerja kita. Kita perlu insaf bahawa masih ramai yang tidak
mempunyai pekerjaan. jadikan kerja kita sebagai kerjaya. Ini bermakna
kerja itu sebagai anugerah rezeki yang dikurniakan kepada kita yang
perlu dijaga. Apabila kita sedar bahawa kerja ini adalah sumber rezeki
berbanding mereka yang menganggur. Maka, semestinya kita menghargai
kerjaya kita. Dengan ini, kita ada matlamat yang jelas dalam kerja kita.
Untuk mencapai matlamat tadi kita perlu ada DISIPLIN .
E - Empati
Empati di sini bermakna kita merasai, menjiwai dan sedar akan kerja
yang kita lakukan. Ada sebahagian pekerja bekerja hanya mengikut keadaan
dan terpaksa. Ini menyebabkan wujud sikap negatif dan rasa tertekan
terhadap pekerjaan yang dilakukan. Dengan ini, motivasi terhadap kerja
akan berkurangan. Sikap empati pula akan memberi kekuatan dalaman kepada
kita. Apabila kita menghayati dan menjiwai bahawa kerja itu sebagai
satu ibadah dan jihad kehidupan. Maka, kita akan bekerja dalam keadaan
terancang serta sayang kepada pekerjaan tersebut. DISIPLIN terhadap kerja kita akan meningkat.
R - Rasional dan rajin
Kita perlu sedar kenapa kita memilih sesuatu pekerjaan tersebut. Ia
akan memudahkan kita membuat keputusan dan penilaian yang betul.
Rasional di sini bermakna kita memilih pekerjaan tersebut berpandukan
minat, kelayakan dan kebolehan kita. Sebahagian pekerja hanya bekerja
kerana ingin mendapatkan wang (gaji) semata-mata. Ini akan wujud sikap
menjalankan kerja sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh. Apabila kita
sedar rasional kita memilih pekerjaan tersebut maka, penumpuan dan
minat terhadap kerja tadi akan lahir. Dengan ini, kita akan rajin
bekerja untuk mendapat kepuasan dalam pekerjaan tadi. DISIPLIN kerja kita juga akan meningkat.
J – Jujur
Sikap jujur terhadap kerja amat penting bagi meningkatkan kualiti
serta peribadi diri. Saban hari kita didedahkan dengan berita pekerja
pecah amanah…ponteng kerja…rasuah… ini kerana kesedaran terhadap
tanggungjawab bekerja tidak ada dalam diri individu tersebut.
Kejujuranlah yang akan membentuk keperibadian individu tersebut dalam
masyarakatnya. Masyarakat akan menilai dan meletakkan penghargaan yang
tinggi kepada pekerja yang jujur. Untuk menjadi seorang yang jujur, ia
memerlukan DISIPLIN yang tinggi.
A - Amal dengan penuh amanah
Amalkan sikap ceria melalui senyuman, menyeronokkan dan bertolak
ansur dalam melaksanakan kerja. Ia akan membantu penampilan diri kita.
Kerja yang diamanahkan perlu dilaksanakan dengan rasa tanggungjawab yang
tinggi. Dengan ini, perkara negatif dapat dihindari dari diri kita.
Amalkan (lakukan) kerja tadi dengan ilmu, kepakaran, kebolehan serta
minat kita. Ia akan mewujudkan keyakinan diri untuk kita laksanakan
tugas. Segala ilmu pekerjaan yang dimiliki perlu kita amalkan untuk
mempertingkatkan produktiviti dan kualiti kerja kita. Maka akan wujudlah
DISIPLIN dalam kerja.
Kesimpulannya, pekerjaan merupakan satu jaminan masa depan. Tidak
kira apa pun jawatannya, ia tetap memerlukan sumber ekonomi (wang).
Orang yang tidak mempunyai pekerjaan sering dipandang hina oleh
masyarakat. Orang yang bekerja perlu membina kerjayanya supaya sentiasa
maju dan berjaya. Oleh itu, untuk berjaya dalam kerjaya, ia memerlukan DISIPLIN dalam kerja.
Ini merupakan pandangan penulis. Pembaca budiman diminta menyatakan pendapat, komen dan teguran jika tersasar daripada matlamat.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar